April 29, 2025
BERNAMA

Had Kelajuan Untuk Zon Sekolah Akan Dikurangkan Daripada 50 Kepada 30 Km/j Tidak Lama Lagi - Loke

Had Kelajuan Untuk Zon Sekolah Akan Dikurangkan Daripada 50 Kepada 30 Km/j Tidak Lama Lagi - Loke

SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Kerajaan tidak lama lagi akan mewartakan pengurangan had laju maksimum di zon sekolah daripada 50 kepada 30 kilometer sejam (km/j) bagi meningkatkan keselamatan pelajar.

 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata proses had baharu yang diwartakan itu sedang dijalankan berikutan keputusan dasar yang dibuat melalui Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan.

 

"Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan telah membuat keputusan dasar untuk menurunkan had laju di semua kawasan zon sekolah daripada 50 km/j kepada 30 km/j. Ini disokong oleh data saintifik yang telah dikaji — mengurangkan kelajuan kepada 30 km/j dengan ketara mengurangkan risiko kematian dalam kemalangan.

 

“Setiap tambahan 10 km/j meningkatkan risiko kematian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) ke-61 hari ini.

 

Beliau menegaskan selain mewartakan had laju yang lebih rendah, pihak berkuasa juga perlu menambah baik infrastruktur jalan di zon sekolah, seperti memasang papan tanda amaran dan garisan kuning, bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya dan menggalakkan mereka memperlahankan kenderaan.

 

Tambah Loke, secara purata terdapat 70 kemalangan maut di zon sekolah setiap tahun.

 

Sementara itu, Loke menyatakan mesyuarat MKJR hari ini memfokuskan kepada inisiatif keselamatan jalan raya berasaskan komuniti, termasuk program Jalan Selamatku, yang melibatkan intervensi di kawasan berisiko tinggi bagi meminimumkan kematian dan kecederaan serius dalam kemalangan jalan raya.

 

“MKJR juga akan memberi tumpuan kepada Zon Sekolah Selamat dan Program Fellowship Kepimpinan Keselamatan Jalan Raya, bertujuan untuk memupuk pemimpin muda yang boleh menerajui inisiatif keselamatan jalan raya berdasarkan Pendekatan Sistem Selamat,” katanya.

 

Loke menekankan bahawa pendekatan ini telah terbukti berkesan dalam mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya di negara maju tetapi ia memerlukan anjakan paradigma untuk bergerak lebih daripada sekadar menyalahkan sikap pemandu untuk turut menambah baik sistem secara keseluruhan, termasuk keadaan jalan raya, had laju kenderaan dan pematuhan undang-undang.

 

-- BERNAMA

Kongsikan dengan Rakan
FacebookInstagramWhatsAppEmail

Baca Lebih Lanjut

Menjaga keselamatan kanak-kanak dengan had laju zon sekolah yang dikurangkan
April 30, 2025
Menjaga keselamatan kanak-kanak dengan had laju zon sekolah yang dikurangkan
Pelancaran My Safe Road
April 29, 2025
Pelancaran My Safe Road

Hubungi Kami

Perlukan maklumat, ingin bekerjasama atau mempunyai kebimbangan keselamatan jalan raya untuk dikongsi?