Angka kematian kita terlalu tinggi

Diterbitkan oleh: HARIAN METRO

PUTRAJAYA (22 December 2024) – Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa di Malaysia ibarat tiada titik noktah dari tahun ke tahun.

Ia memberi kesan pelbagai perspektif bukan sahaja membabitkan nyawa rakyat malah mencakupi ekonomi dan modal insan negara pada masa depan.

Ikuti temubual Wartawan Harian Metro, HAFIZ ITHNIN bersama Menteri Pengangkutan, ANTHONY LOKE bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu ini.

Jika lihat kepada angka kematian akibat nahas jalan raya sejak 10 tahun lalu, tiada pengurangan 6,000 kematian setahun. Apa pandangan Yang Berhormat (YB)?

Yang pertamanya dari segi angka kemalangan maut dan jumlah kematian tidak menurun. Tetapi dari perspektifnya, jumlah kenderaan juga meningkat pada masa yang sama setiap tahun. Pertambahan kenderaan di atas jalan raya seperti kereta dan motosikal juga meningkat. Namun begitu, memang kita amat bimbang dengan angka kematian yang mencecah lebih 6,000 setiap tahun. Malah, mengikut statistik yang baharu sahaja dibentangkan kepada saya, dari Januari hingga Oktober 2024 sejumlah 5,029 kemalangan maut dicatatkan dan kematian 5,364 orang.

Paling ramai adalah dalam kalangan penunggang motosikal hampir 65 peratus. Jadi kita memang tahu angka kematian ini sangat tinggi dan membimbangkan dan tiada trend menurun walaupun pelbagai usaha dilaksanakan.

Setakat ini kita tidak berpuas hati dengan pendekatan yang dijalankan. Oleh sebab itu, kerajaan amat mengambil berat isu keselamatan ini. Sejak tahun lalu, kita sudah membentuk jawatankuasa Kabinet berkenaan isu ini yang dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri. Kita bermesyuarat agak kerap supaya dapat membincangkan usaha dan dasar untuk cuba mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ini.

Apakah dasar yang bakal dilaksanakan bagi mengurangkan angka kematian ini?

Pelbagai pendekatan yang berlainan. Umpamanya dari segi melaksanakan meter had laju di dalam bas bagi mengurangkan kelajuan pemanduan bas dan untuk diwajibkan bagi bas yang baharu. Selain itu, bagaimana untuk kita memastikan juga dari segi pengangkutan awam yang lebih. Sebab kita tahu ramai yang bergantung dengan motosikal. Jadi kita cuba menjadikan pengangkutan awam ini lebih mudah dan memberikan pilihan kepada orang ramai kerana ia sudah tentu lebih selamat dan murah. Malah dapat mengurangkan kesesakan jalan raya. Jadi kita ingin memastikan pengangkutan awam ini dapat ditambah baik khususnya di Lembah Klang.

Di mana kita bukan sahaja memfokuskan kepada projek yang besar seperti LRT dan MRT sahaja, tetapi memperkenalkan juga Demand Ride Transit (DRT) yang membolehkan orang ramai menggunakan khidmat ini dari rumah ke stesen pengangkutan awam berdekatan dengan kediaman atau lokasi mereka berada.

Perkhidmatan ini sudah dilaksanakan dua tiga tahun oleh syarikat swasta dan menerusi Prasarana, kita ada di sembilan kawasan membabitkan sembilan stesen MRT. Ia akan diperluaskan pada tahun depan dan kita sudah mendapat tambahan 300 van supaya dapat digerakkan dengan kawasan sekitar stesen LRT. Kita lihat ia satu langkah berkesan berbanding bas kerana bas tidak boleh masuk setiap kawasan. Dengan adanya DRT ini lebih fleksibel bagi menggalakkan penggunaannya kepada orang ramai. Setakat ini sudah terdapat sembilan stesen LRT terbabit di dalam DRT.

Tetapi apa pun ia masih tidak dapat menyelesaikan kemalangan motosikal yang bagi kita penunggang motosikal ini berbalik kepada sikap penunggang dan penumpang kenderaan itu sendiri. Kita lihat bahawa dari segi jumlah kemalangan ini, paling ramai adalah dalam kalangan anak-anak muda menggunakan motosikal.

Melihat kepada kohort itu, adakah kerajaan akan memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengelakkan golongan muda terbabit dalam nahas jalan raya?

Dari segi pelesenan kita boleh tambah baik, tetapi ramai yang terbabit ini adalah mereka yang tiada lesen. Ramai anak-anak muda ini menggunakan motosikal tanpa lesen. Jadi ini peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kerajaan boleh melaksanakan pelbagai syarat dan sebagainya tetapi kalau kepatuhan itu tidak ada, letaklah syarat apa pun dari segi lesen tetapi mereka tiada lesen?

Undang-undang juga satu bahagian, tetapi ia bukan satu penyelesaian masalah kerana mereka tetap langgar atau tidak takut. Umpamanya yang menunggang tanpa lesen, kita ada undang-undang tetapi kalau ditangkap diberikan saman. Apabila menunggang motosikal dengan berbahaya, jadi kesannya kepada mereka sendiri kerana boleh membahayakan nyawa sendiri.

Isunya adalah kesedaran itu tidak ada dalam kalangan anak-anak muda ini.

Apakah langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasi isu ini di peringkat kementerian?

Seperti kita bincangkan untuk menyerapkan kesedaran belia dengan mengadakan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan. Serapkan kesedaran ini dalam Program Rakan Muda supaya ada pemahaman keselamatan jalan raya. Dari segi pematuhan undang-undang, mengambil lesen dan cara pemanduan selamat serta berhemah akan diserapkan.

Keduanya, di universiti dan sekolah kita akan serapkan di dalam kokurikulum. Terdapat subjek atau pengisian mengenai isu keselamatan jalan raya di peringkat asas lagi. Namun ia masih tidak mencukupi dan perlu diperhebatkan mungkin di peringkat sekolah.

Masalah paling besar kepada kita sebenarnya bukan pelajar di universiti tetapi murid di sekolah menengah yang menjadi isu paling besar. Angka menunjukkan golongan yang paling ramai terkorban adalah pada usia masih di sekolah menengah.

Dalam kalangan rakan negara Asean, Malaysia berada di posisi kedua kematian akibat jalan raya paling tinggi. Apa pandangan menteri mengenai fakta ini?

Bagi saya kita sepatutnya perlu merasa amat sedih dan menjadi peringatan kepada kita semua. Kemalangan yang kerap ini memberi kesan bukan sahaja kepada imej negara malah angka kematian itu yang menyayat hati. Sudah tentu kita perlu melihat perkara ini dari lensa kemanusiaan.

Kita juga jangan membandingkan dengan negara lain tetapi bagaimana untuk kita meminimakan kemalangan. Isu ini bagi saya tidak perlu ada perbandingan, tidak perlu ada perlumbaan atau pertandingan membabitkan isu keselamatan jalan raya. Perkara paling penting ialah kita budayakan keselamatan dalam negara ini yang boleh menyelamatkan nyawa manusia.

Wajarkah undang-undang baharu dipinda?

Undang-undang akan dipinda dari masa ke masa kerana perubahan zaman dan keadaan memerlukan pindaan itu dibuat. Memang ada banyak perkembangan berlaku terutamanya dari segi penguatkuasaan digital yang memerlukan pindaan undang-undang. Bagaimanapun, pindaan undang-undang itu bukannya jawapan segala-galanya kepada masalah kita. Undang-undang boleh pinda, kita boleh ketatkan, kita boleh naikkan denda dan hukuman tetapi kalau sikap manusia itu sendiri tidak berubah, apa pun yang kita ada tidak akan menyelesaikan masalah. Sebab itu, saya katakan undang-undang adalah sebahagian untuk mengawal manusia. Jika sikap manusia itu sendiri tidak berubah, apa sahaja undang-undang tiada kesannya.

Jadi bagi saya kita perlu lihat pelbagai pendekatan dalam isu keselamatan jalan raya ini antaranya selain undang-undang, kita perlu lihat dari segi memperkasakan pengangkutan awam, lihat teknologi yang boleh memberi peningkatan ciri di dalam keselamatan di dalam kenderaan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *